Kongres Pendidikan Melayu Pertama Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur 1 September 2001 Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya untuk menyampaikan ucapan perasmian kongres ini. Bahawa kita orang Melayu perlu berkongres berkenaan pendidikan Melayu setelah 44 tahun merdeka, mencerminkan kita masih gagal menggunakan kebebasan kita untuk menentukan pendirian kita terhadap pendidikan. Di zaman penjajah kita boleh menyalahkan penjajah kerana tidak memberi peluang kepada kita untuk mengejar ilmu. Tetapi setelah merdeka alasan ini tidak boleh digunakan lagi. 2. Sebenarnya semasa memperjuangkan kemerdekaan, pemimpin-pemimpin Melayu bercita-cita untuk meningkatkan penguasaan semua ilmu secara mendalam oleh orang Melayu. Mereka berpendapat ini adalah kunci untuk orang Melayu memajukan diri mereka supaya sama dengan kaum-kaum lain. 3. Semasa merundingkan dasar-dasar negara Malaysia yang merdeka, pemimpin-pemimpin Melayu telah menentukan bahawa peluang dan bantuan bagi orang Melayu perlulah diberi keistimewaan. Dalam bidang pelajaran peruntukan khusus telah dibuat dalam sosial kontrak dan perhubungan supaya peluang dan peruntukan yang mencukupi bagi orang Melayu dapat diadakan. 4. Dalam konteks zaman itu pandangan pemimpin- pemimpin Melayu agak mudah. Masalah yang mereka lihat terhad kepada keadaan dalaman. Tidak terlintas dalam fikiran mereka akan perubahan-perubahan dalam hubungan antarabangsa, akan peranan yang akan dimainkan oleh Malaysia dan orang Melayu, dan sudah tentu tidak ada siapa yang meneka akan perkembangan ilmu dan peranan ilmu dalam zaman maklumat. 5. Ramai yang melihat pendidikan sebagai peluang untuk membentuk bangsa Malaysia daripada rakyat berbilang kaum di negara ini. Jika semua kaum belajar dalam bahasa Malaysia, maka perpaduan antara mereka tentu mudah berlaku. Ramai juga yang berpendapat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar akan memberi sedikit kelebihan kepada penuntut Melayu dalam bidang pembelajaran dan penguasaan ilmu. 6. Terpikat dengan kepentingan pembentukan Bangsa Malaysia, pejuang-pejuang pendidikan dan pelajaran telah cuba memperluaskan penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ada Menteri yang telah menjadikan sekolah Cina dan India sebagai sekolah kebangsaan dan ada Menteri yang menutup sekolah Inggeris dan menjadikannya sekolah berbahasa pengantar bahasa Melayu dengan tujuan untuk memperluaskan penggunaan bahasa Kebangsaan secepat mungkin. 7. Sebenarnya minat bukan Melayu untuk pergi ke sekolah jenis kebangsaan meningkat kerana keputusan yang pertama. Apabila sekolah Inggeris ditutup hampir semua penuntut bukan Melayu di sekolah Inggeris telah menderu pergi ke sekolah Cina. Sekolah-sekolah Cina yang hampir tidak mempunyai murid, tiba-tiba menerima jumlah murid yang besar. Hari ini sekolah-sekolah menengah Cina amat besar dan dilengkapi dengan semua kemudahan. Mereka mengikuti kurikulum kebangsaan tetapi bahasa pengantar mereka ialah bahasa Cina. 8. Inilah yang berlaku apabila kita cuba menggunakan sistem pendidikan untuk tujuan lain daripada pendidikan, iaitu untuk mengembangkan bahasa Kebangsaan. 9. Sementara itu kita dapati sekolah-sekolah kebangsaan semakin merosot prestasinya. Pada mulanya ramai juga penuntut bukan Melayu pergi ke sekolah kebangsaan. Tetapi hari ini bilangan penuntut bukan Melayu amat berkurangan. Sebaliknya ramai juga penuntut Melayu memilih untuk ke sekolah jenis kebangsaan Cina di mana bahasa pengantarnya ialah bahasa Cina. Kenapakah bilangan bukan Melayu ke sekolah kebangsaan berkurangan dan bilangan Melayu ke sekolah Cina bertambah? 10. Kita tidak begitu suka untuk mengakui kebenaran jika ianya mendedahkan kesilapan kita. Tetapi jika kita ingin memperbetulkan sesuatu, kita perlu mengenalpasti sebab yang sebenar dan bertindak memperbetulkan kesilapan ini. 11. Sekolah-sekolah kebangsaan hari ini sudah menjadi hampir sama dengan Sekolah Agama Islam daripada falsafah dan praktiknya. Jika ada mana-mana pihak dalam sekolah mengarahkan bahawa sesuatu dibuat atas nama Islam, tidak ada sesiapa yang berani menentang. Walaupun arahan itu bukan daripada Kementerian atau guru besar dan asas keIslamannya samar-samar tidak akan ada sesiapa yang berani menentang arahan berkenaan. 12. Demikian ada sekolah yang memaksa seluar panjang dipakai semasa bermain bola sepak kerana seluar pendek dianggap tidak Islam. Kita lihat pemain-pemain bola sepak dari negara Islam seperti Arab Saudi dan lain- lain memakai seluar pendek semasa bersukan dan lain- lain masa pun tetapi tidak ada guru atau guru besar ataupun pegawai Kementerian yang berani berkata bahawa seluar pendek perlu dipakai. 13. Banyaklah lagi kegiatan dan rupa bentuk yang dikatakan mencerminkan Islam ditekankan ke atas sekolah- sekolah Kebangsaan. Semua ini menyebabkan ramai orang Cina mengelak daripada memasukkan anak mereka ke sekolah Kebangsaan. 14. Yang lebih malang ialah prestasi sekolah kebangsaan tidak meningkat daripada segi kelulusan peperiksaan. Ada guru yang lebih mengutamakan politik daripada pengajaran ilmu yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Bermacam cara digunakan untuk menyemai kebencian kepada Kerajaan sehingga penuntut tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran yang sebenar. 15. Ada guru agama yang terlalu menekan politik membenci Kerajaan sehingga ajaran Islam yang sebenar tertinggal sama sekali. Pelajar tidak memahami ajaran Islam dan aqidah mereka rosak sama sekali. Apabila mereka terdedah kepada kepercayaan yang bertentangan dengan Islam, mereka mudah menerima ajaran ini. Sebab itu kita lihat ada anak Melayu, termasuk yang menuntut di sekolah agama yang sanggup menyembah syaitan, menghina al-Quran dan berkelakuan yang tidak bermoral sama sekali. 16. Walaupun terdapat banyak sekolah kebangsaan yang cemerlang tetapi prestasi kebanyakannya adalah rendah. Oleh kerana penuntut di sekolah kebangsaan hampir semuanya terdiri daripada anak Melayu, ini bermakna anak Melayulah yang menjadi mangsa kemerosotan prestasi sekolah-sekolah kebangsaan. 17. Soalnya ialah apakah kita harus memejamkan mata dan menyerah kepada takdir kerana kita tidak sanggup menghadapi realiti dan cabaran, atau apakah kita sanggup berhadapan dengan masalah yang menyerang bangsa kita walaupun ia memalu dan mencemarkan imej bangsa kita? 18. Mungkin ada ramai yang akan berkata Kerajaan perlu membuat "sesuatu". Kita akan berseminar, berpolemik berpanjangan dan membuat rumusan dan syor-syor, beratus syor daripada beratus rumusan daripada beratus seminar. Selepas itu kita kembali ke rumah kita dan kita menunggu Kerajaan bertindak dan menyelesaikan masalah mengikut arahan kita. 19. Tetapi Kerajaan tidak sebegitu bebas bertindak kerana tiap sesuatu yang dilakukan oleh Kerajaan akan dijadikan isu politik. Jika Kerajaan bertindak ke atas guru yang tidak bertanggungjawab, ada pihak yang akan mempertahankannya. Dia sendiri akan aktif berkempen untuk membencikan Kerajaan. Undang-undang negara pula memberi perlindungan luar biasa kepada pegawai Kerajaan yang cuai. Peguam tertentu daripada parti tertentu menunggu sahaja untuk mempertahankan guru berkenaan. Setahun, dua tahun akan berlalu sebelum pengadilan dibuat. Akhirnya hukuman yang ringan diberi yang tidak memberi apa-apa kesan. 20. Yang berseminar tidak harus membuat kesimpulan dan syor sahaja. Jika mereka benar-benar merasa bertanggungjawab mereka harus bertindak sendiri. Saya tahu seribu tindakan yang boleh dilakukan oleh mereka. 21. Kerajaan telah melaksanakan berbagai-bagai dasar dan program dan menyediakan beraneka kemudahan untuk pendidikan Melayu. Kita telah mendirikan sekolah- sekolah yang serba lengkap di bandar dan luar bandar, mengadakan skim pinjaman buku, mengadakan surau dan pelajaran agama, mengadakan pelajaran percuma, biasiswa dan skim pinjaman, mengadakan kelas matrikulasi dan kelas sains, mengadakan sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Sains MARA, dan sekarang ini kita sedang mendirikan sekolah satu sesi dan sekolah bestari lengkap dengan segala peralatan teknologi maklumat. 22. Daripada sebuah universiti kita sekarang mempunyai 14 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan tahun ini dua lagi IPTA akan dibangunkan. Puluhan ribu anak Melayu telah diberi biasiswa dan dihantar ke universiti luar negeri. Tidak ada cadangan yang munasabah atau perbelanjaan yang berpatutan yang tidak dilayan oleh Kerajaan. 23. Jika ada lagi cadangan lain yang baik, Kerajaan sedia menerima dan melaksanakannya. Tetapi kita yakin perbelanjaan dan kemudahan fizikal tidak akan dapat mengatasi masalah pencapaian yang rendah oleh murid Melayu kerana sikap terhadap pendidikan. 24. Statistik yang dikumpul oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan bahawa 30 peratus daripada murid sekolah rendah tidak meneruskan pelajaran mereka ke sekolah menengah. Hampir semua daripada mereka adalah penuntut Melayu dan lelaki. Di manakah mereka pergi? Mungkin ke sekolah-sekolah agama swasta, di mana mereka juga akan belajar mengikut kurikulum kebangsaan. 25. Kita tahu kemudahan di sekolah-sekolah swasta ini tidak mencukupi. Bangunan biasanya daif dan ramai daripada guru tidak terlatih. Apakah sebabnya yang murid-murid ini meninggalkan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan dengan cukup lengkap untuk pergi ke sekolah swasta yang serba kekurangan dan membayar yuran? 26. Mungkin jawapannya ialah mereka ingin belajar agama. Mungkin mereka dan ibubapa mereka berminat untuk melihat anak mereka lebih alim dalam bidang agama. Mungkin mereka berpendapat pelajaran agama di sekolah-sekolah kebangsaan terlalu cetek dan tidak mencukupi. 27. Tetapi sebenarnya pelajaran yang disampaikan di sekolah-sekolah tidak tertumpu kepada agama Islam. Ramai daripada mereka hanya belajar tentang ketidakIslamnya Kerajaan. Hampir semua daripada mereka menyertai politik pembangkang. Mereka dikawal supaya tidak terdedah kepada penjelasan oleh Kerajaan. Pengetahuan mereka dalam bidang agama sebenarnya cetek, tidak seperti pelajar-pelajar agama dahulu yang menguasai ilmu agama yang sebenar. 28. Ada pihak tertentu yang tidak senang melihat pelajar Melayu belajar ilmu-ilmu lain selain daripada agama. Mungkin ini adalah kerana ilmu lain ini dianggap sekular. Tetapi besar kemungkinan pihak ini ingin mempengaruhi pelajar-pelajar ini untuk kepentingan mereka. Jika orang Melayu menjadi mundur dan rosak terus, ini tidak mengapa kerana kepentingan mereka ini tercapai. 29. Oleh kerana ini bilangan pelajar Melayu yang berkelulusan tinggi yang layak memasuki universiti tidak ramai. Mereka tidak khuatir kerana Kerajaan akan menentukan mereka akan mendapat tempat di universiti walau apapun. Ini adalah hak istimewa orang Melayu. Jika ijazah yang mereka perolehi berkelas rendah, itu tidak mengapa. Ijazah diperolehi juga. Mereka juga berkelulusan universiti. Tidak ramai yang akan bertanya kelas apa ijazah mereka? 30. Fenomena yang baru kita sedari ialah bilangan pelajar lelaki Melayu amat berkurangan daripada pelajar wanita dalam universiti. Sebenarnya bilangan pelajar wanita sekali ganda lebih daripada pelajar lelaki. Kita tidak dapat mengurangkan bilangan pelajar wanita kerana bilangan mereka yang lebih bukan salah mereka. Mungkin mereka tidak begitu diganggu semasa di sekolah dan dengan itu dapat memberi tumpuan kepada pelajaran mereka. Saya khuatir selepas kenyataan ini pelajar wanita juga akan diganggu oleh pihak berkenaan. 31. Kita tidak boleh terima bahawa jumlah penuntut lelaki yang kurang ini adalah kerana mereka bodoh. Kebolehan mereka sama dengan wanita. Tetapi jikalau mereka tidak dibenarkan belajar, yang cemerlang antara mereka pun tidak akan lulus. 32. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran. Kemampuan kita menghadapi dan mengatasi cabaran ini bergantung kepada ilmu yang dikuasai oleh kita dan kecekapan kita. Sementara kita perlu memiliki pengetahuan agama supaya kita tidak mudah dipisahkan daripada agama kita, pengetahuan kita dalam bidang- bidang lain adalah satu kewajipan bagi kita untuk melindungi umat Islam daripada tekanan, penindasan dan penguasaan oleh ideologi dan kepercayaan yang bertentangan dengan agama Islam. 33. Ada negara yang penduduknya terdiri 100 peratus daripada orang Islam, yang mempunyai ulama yang terbanyak dalam agama Islam, ulama yang terkenal dalam sejarah Islam dan dunia Islam, negara di mana ramai penuntut dari negara-negara lain sering menuntut ajaran Islam di madrasah dan institusi pelajarannya, yang diperintah oleh imam, tetapi negara ini telah menjadi negara Komunis kerana ramai daripada rakyatnya telah menolak Islam untuk mengikut ajaran Komunis, yang menolak Tuhan. 34. Kenapakah orang Islam dan negara yang diduduki 100 peratus orang Islam, yang ditadbir di bawah undang- undang syariah oleh Imam dapat dipengaruhi oleh ideologi yang anti-Islam, seperti Komunis. Jawapannya ialah kerana negara ini amat miskin dan lemah dalam semua bidang. Selain daripada agama mereka tidak memiliki apa-apa kecekapan hidup. Mereka miskin. Mereka terpaksa menerima bantuan daripada negara-negara asing. Negara asing ini adalah negara-negara Komunis yang memberi bantuan kewangan dan kemudahan untuk membangunkan negara ini. Pemuda-pemuda dari negara ini telah ditawarkan pelajaran dan latihan di negara-negara Komunis dan mereka telah menerima fahaman Komunis sepenuhnya. Akhirnya mereka menjatuhkan pemerintah Islam oleh Imam dan mendirikan negara Komunis. 35. Benarlah bahawa kemiskinan itu hampir kepada kekufuran. Kita begitu yakin bahawa kita orang Melayu tidak mungkin dipisahkan daripada agama Islam. Yang harus kita ingat ialah sebelum pun kita miskin, iman kita sudah begitu lemah sehingga ada yang sanggup menghina al-Quran dan menyembah syaitan. Apatah lagi apabila kita menjadi miskin dan terpaksa meminta-minta daripada orang lain. 36. Dan kita akan menjadi miskin kerana tidak memiliki ilmu pengetahuan dan kecekapan tertentu kerana kita menolak pembelajaran ilmu-ilmu ini dan pelajaran agama juga diselewengkan. Apabila kita miskin dan terpaksa mengemis, maka iman kita akan menjadi lemah dan dengan mudahnya kita akan dikuasai oleh kuasa dan pengaruh lain dan kita akan dipisahkan daripada agama kita. 37. Orang Islam tidak disuruh mempelajari hanya agama sahaja. Jika semua daripada kita hanya berpengetahuan dalam bidang agama sahaja, hanya mempelajari agama sahaja yang akan memberi pahala kepada kita dan dengan itu apakah yang akan terjadi kepada masyarakat kita? Kita tidak mungkin menyara kehidupan kita sama sekali. Pendapat bahawa hanya yang mempelajari agama sahaja yang akan mendapat pahala dan tempat di akhirat adalah salah. Mereka tidak pun dapat hidup jika tidak ada orang lain yang membuat kerja-kerja lain bagi menyara kehidupan mereka dan menyelamat mereka. Orang lain ini juga membuat ibadat kerana mereka yang membolehkan orang yang berpelajaran agama hidup sempurna. 38. Agama Islam membahagikan ibadat kepada Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Fardu Ain adalah untuk diri sendiri semata-mata. Mengamalkannya memberi pahala kepada diri sendiri. 39. Fardu Kifayah memberi pahala kepada diri pengamalnya tetapi di masa yang sama menyelamatkan anggota masyarakat daripada menanggung dosa. Jika tidak kerana pengamal Fardu Kifayah, yang tidak pernah tinggal menunaikan Fardu Ain juga akan menanggung dosa. Janganlah kita fikir dosa kerana tidak menunaikan Fardu Kifayah tidak seberat dosa meninggal fardu ain. Kebahagiaan hidup umat Islam disebut bersama dengan kebahagiaan hidup di akhirat. Ingat jugalah segala yang baik itu datang dari Allah S.W.T. dan yang buruk dari kita. Jika hari ini orang Islam ditindas dan dibunuh, yang menyebabnya ialah kita. 40. Fardu Kifayah mempunyai kaitan yang rapat dengan keselamatan dan kebahagiaan hidup masyarakat Islam. Fardu Kifayah tidak terhad kepada hanya sembahyang mayat, menyediakan mayat dan membaca talkin. Keselamatan anggota masyarakat Islam memerlukan orang yang cekap dalam menjaga keamanan dan keselamatan, kesihatan dan keselesaan hidup serta kebahagiaan orang Islam. Untuk ini pelbagai ilmu diperlukan. Menuntut ilmu-ilmu ini tidak kurang penting daripada menuntut ilmu berkenaan agama. Jika tidak ada seorang pun daripada orang Islam yang berkebolehan menjaga keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat Islam, maka tentulah semua akan berdosa. 41. Sebenarnya pengetahuan agama di kalangan orang Melayu sudah merosot kerana kepentingan politik pihak tertentu. Kerana kepentingan ini ajaran sesat telah berkembang, ajaran yang menghakis iman dan aqidah orang Islam dan menyebabkan mereka memiliki pendapat yang bertentangan dengan ajaran Islam. 42. Orang Melayu perlu diberitahu akan ajaran Islam berkenaan menuntut ilmu pelajaran. Al-Quran menyebut berkali-kali akan kejadian alam, bukit-bukau, hujan yang menyuburkan tanah dan tumbuhan yang segar yang menyusulinya. Ayat yang pertama yang disampaikan kepada Nabi ialah "Baca". Kita tahu Nabi tidak boleh membaca. Kenapakah Tuhan menyuruh Rasullullah membaca? Tentulah kerana Baginda dikehendaki belajar membaca. Apakah yang hendak dibaca pada ketika itu? Tidak ada satu pun ayat al-Quran yang telah diturunkan untuk Nabi membaca. Yang ada tertulis untuk dibaca ialah bahan yang lain daripada apa yang ada dalam al-Quran. 43. Maksud membaca sebelum pun ada al-Quran tentulah berkenaan ilmu yang ada pada masa itu. Dan ilmu-ilmu tersebut bukanlah berkenaan agama Islam. Ia adalah berkenaan dengan ilmu lain. 44. Kita tahu satu daripada Hadis Nabi yang sahih ialah "Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China". Di masa itu ilmu yang boleh dipelajari dari negeri Cina bukanlah yang berkenaan agama Islam. Ilmu berkenaan agama Islam pada ketika itu boleh didapati daripada Nabi sendiri, sahabat-sahabat Baginda dan orang-orang lain yang memeluk agama Islam. Tetapi di masa itu pun negara Cina terkenal dengan perkembangan pelbagai ilmu termasuk berkenaan pemerintahan negara, cara-cara peperangan, bidang pertanian, pembuatan barangan kaca, kertas dan bahan letupan. Apa yang jelas ialah agama Islam, jauh daripada melarang, menyuruh umat Islam mempelajari pelbagai ilmu dan bukan semata-mata berkenaan agama. Tidak ada disebut tentang pelajaran yang sekular yang ditegah mempelajarinya. Tidak juga disebut apakah jenis pelajaran yang memberi pahala yang banyak dan apa yang kurang. Yang disuruh ialah membaca dan mengejar ilmu. 45. Sepatutnya ajaran Islam berkenaan menuntut ilmu, berbagai-bagai ilmu, selain daripada yang khusus berkenaan dengan agama, diberikan penekanan dan galakan yang kuat oleh masyarakat Islam, oleh pemimpin-pemimpin Islam, oleh pendidik-pendidik Islam. Sepatutnya mengejar berbagai-bagai ilmu menjadi budaya umat Islam di mana-mana sahaja. Sepatutnya negara-negara Islam dan masyarakat Islam mengadakan segala kemudahan seperti sekolah, alatan pelajaran, makmal dan ujian serta institusi pelajaran tinggi untuk memudahkan tuntutan segala ilmu. Dan sepatutnya orang Islam mendahului orang-orang lain dalam semua ilmu; dalam sains, matematik, astronomi, geografi, geologi dan lain- lain. 46. Dan di zaman kegemilangan Islam memang pun orang Islam mendahului orang lain dalam bidang-bidang yang tersebut. Kita kenali nama Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Ibnu Rushdi dalam bidang matematik, Ulug Bez dalam bidang astronomi, Ibnu Batuta dalam bidang pelajaran, Al Khwarizmi dalam bidang `algorithm' dan hisab tinggi, dan berpuluh lagi. 47. Tetapi apabila datang zaman kesempitan tafsiran berkenaan dengan ilmu yang perlu dituntut, apabila muncul orang-orang tertentu yang merasai kuasa mereka terhakis kerana kemuliaan pendita-pendita Islam ini, maka bermulalah usaha untuk menyekat pelajaran ilmu yang tidak khusus berkenaan dengan agama. Dari tarikh itu, maka merosotlah perkembangan ilmu sains, matematik, astronomi dan lain-lain dari dunia Islam. Dari tarikh itu juga tamadun Islam mula menjadi lemah dan akhirnya ditewas dan dijajah oleh kuasa-kuasa lain. 48. Orang-orang bukan Islam memperkenalkan perkataan sekular, iaitu bidang yang tidak ada kaitan dengan agama. Dan pihak tertentu di kalangan orang Islam yang takut kehilangan pengaruh mengambil kesempatan ini untuk mentafsir sebarang ilmu yang tidak ada kaitan dengan agama sebagai sekular dan melarang mempelajari ilmu yang ditafsirkan sebagai sekular ini. Untuk mendapat pahala, yang perlu dituntut ialah agama sahaja. 49. Hari ini dalam dunia Islam dan di Malaysia juga pendapat ini mempengaruhi orang Islam. Orang Melayu walaupun pada masa awal kemerdekaan memujuk rakyat untuk menguasai semua ilmu, tetapi hari ini sudah amat kurang minat ini. Jika ada sesiapa yang memilih untuk mempelajari atau untuk menyuruh anak mempelajari agama semata-mata, tidak akan ada sesiapa yang berani berkata bahawa agama Islam menyuruh kita mempelajari ilmu-ilmu lain juga. Sesiapa yang berani berkata ilmu yang lain daripada agama adalah dituntut oleh agama Islam, adalah baik bagi agama Islam dan orang Islam, mereka akan dianggap kurang Islam atau tidak Islam. Walaupun kita berdoa setiap hari akan kebahagiaan di dunia di samping kebahagiaan di akhirat, walaupun jelas tanpa kebahagiaan di dunia kebahagiaan di akhirat mungkin tidak tercapai, walaupun kita lihat contoh bagaimana kemiskinan dan kedaifan di dunia bukan sahaja hampir kepada kekufuran tetapi menyebabkan ramai orang Islam menolak agama Islam, tetapi masih juga terdapat pandangan di kalangan orang Islam dan orang Melayu bahawa tidak ada pahala mempelajari ilmu-ilmu yang lain daripada ilmu agama. 50. Yang lebih menyedih dan memburukkan lagi ialah yang dituntut bukan pun agama Islam tetapi sedutan tertentu daripada separuh ayat al-Quran dan Hadis pilihan, guna untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu. Tafsiran yang dibuat juga tidak tepat. 51. Pihak tertentu tidak suka pandangan seperti ini disuarakan, terutama daripada orang yang didakwa tidak berpengetahuan agama dan tidak terpelajar dalam bidang agama. Yang penting bukan kebenaran dan ketepatan apa yang diperkatakan; yang penting ialah siapa yang memperkatakannya. Walaupun benar dan tepat, jika ia datang daripada orang yang didakwa oleh mereka tidak berpelajaran agama, maka ia ditolak bulat-bulat. Ayat Quran dan Hadis Nabi yang jelas pun ditolak. 52. Jika orang tertentu yang cetek ilmu agamanya tetapi sebulu dengan pihak berkenaan, tafsiran yang bertentangan dan menafikan al-Quran dan Hadis sahih, ditelan bulat-bulat. 53. Agama Islam tidak salah. Dalam bidang penguasaan semua ilmu termasuk sains, ilmu alam, matematik, kejuruteraan, agama Islam bukan sahaja tidak menegah tetapi menuntut supaya dikejar oleh orang Islam. Jika orang Islam lemah dalam bidang ini sekarang, jika mereka malas dan tidak bersemangat untuk mempelajari ilmu-ilmu ini sebabnya ialah orang-orang yang berkepentingan, yang ingin mengekal dan memperkuatkan pengaruh mereka, sengaja menghalang pelajaran ilmu-ilmu yang tidak khusus berkenaan agama dengan mendakwa ilmu ini sekular dan mempelajarinya tidak memberi pahala. 54. Mereka akan melemparkan fitnah kepada sesiapa yang mendedahkan salah tafsir dan salah niat mereka; mereka akan memaki hamun dan melakukan segala yang diharamkan oleh agama Islam. Mereka akan menimbulkan kebencian yang amat sangat kepada orang ini. 55. Namun demikian orang Islam dan ulama Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar perlu menentang pendapat yang salah ini dan perlu berani menyebarkan ajaran Islam yang sebenar berkenaan menuntut semua ilmu. Jangan tafsir ilmu ini sebagai sekular atau duniawi kerana ia mempunyai kaitan yang rapat dengan akhirat juga. 56. Asas agama yang cukup mesti disemaikan secara berkesan dalam hati sanubari anak-anak Melayu supaya pegangan mereka kepada ajaran Islam dan budaya Islam tetap berkesan dan kekal, supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pengaruh songsang, pengaruh lucah dari luar. Benteng yang kuat perlu didirikan dalam hati anak Melayu yang dapat menghalang kemasukan segala jenis maksiat dan kekotoran. Di masa yang sama anak Melayu perlu diberitahu bahawa daripada segi kepentingan agama dan umat Islam, daripada segi pahala yang diperolehi, ilmu yang bukan khusus berkenaan dengan agama Islam, tetapi penting untuk mempertahankan agama dan umat, mesti dikejar oleh anak-anak Melayu yang semuanya Islam. 57. Sementara ibubapa juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak mengurangkan semangat anak untuk belajar ilmu-ilmu berkenaan, guru dan pendidik mempunyai tanggungjawab yang tidak terhingga pentingnya. 58. Jika anak Melayu diberi semangat dan galakan yang secukupnya, kita yakin mereka akan menunjukkan minat yang kuat untuk mempelajari ilmu-ilmu seperti sains dan teknologi, matematik, kejuruteraan, teknologi maklumat dan lain-lain seperti juga kaum lain, dan mereka boleh menunjukkan pencapaian yang cemerlang. Anak Melayu lelaki atau perempuan bukan bodoh. Mereka sama pintar dengan pelajar daripada kaum lain. Tetapi mustahil mereka dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka tidak mempelajarinya, yang mereka tidak tekun dan berusaha untuk mempelajarinya. 59. Ibubapa, guru, pensyarah dan semua pendidik perlu memberi semangat kepada pelajar Melayu. Jangan sekali- kali melemahkan semangat mereka dengan dakwaan bahawa bidang-bidang tertentu adalah sekular dan tidak memberi pahala kepada yang menuntutnya. Ingatlah, seseorang yang sakit, sama ada ia ulama atau tidak, perlu dibedah oleh pakar perubatan, ingatlah serangan ke atas negara kita perlu ditangkis oleh pakar ketenteraan, masjid dan bangunan perlu didirikan oleh arkitek, jurutera dan juruteknik. Apakah kerja mereka ini tidak memberi pahala kepada mereka sedangkan jelas sekali mereka membolehkan orang Islam mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup mereka. 60. Insya-Allah, jika tidak ada gangguan, pelajar- pelajar Melayu tetap berminat untuk belajar ilmu-ilmu yang penting ini dan tetap cemerlang. 61. Ingatlah, apa jua yang dibuat untuk memelihara dan memuliakan agama, negara Islam dan umat Islam adalah ibadat dan dituntut daripada semua orang Islam. Janganlah sesiapa secara sengaja atau tidak sengaja mengkhianati agama Islam dan umat Islam dengan mengutamakan kepentingan diri. 62. Saya harap Kongres Pertama Pendidikan Melayu ini berjaya mengenalpasti asas-asas masalah pendidikan Melayu dan mengambil tindakan yang diperlukan. Mengadakan kongres untuk membuat syor dan cadangan supaya Kerajaan membuat itu dan ini, memberi peruntukan dan lain-lain memang mudah. Kerajaan mengucapkan terima kasih tetapi Kerajaan sendiri mempunyai rancangan bagi mengatasi masalah-masalah pendidikan Melayu. Mungkin pendekatan Kerajaan baik, mungkin tidak. Yang pasti segala rancangan Kerajaan tidak akan mencapai kejayaan jika tidak ada sokongan, tetapi sebaliknya halangan dibuat terhadap usaha berkenaan. Masa untuk berpolemik sudah berakhir. Masa sekarang ialah untuk bertindak, dan bertindak bersama. 63. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kongres Pendidikan Melayu yang sudi menjemput saya untuk menyampaikan pandangan saya berkenaan masalah orang Melayu ini. 64. Saya berdoa Kongres akan mencapai maksudnya.