Majlis Perasmian Diskusi `Toleransi - Model Malaysia' Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Kuala Lumpur 2 Ogos 2001 " MENANDA ARAS TOLERANSI - BENCHMARKING TOLERANCE " Baru-baru ini rusuhan kaum yang serius berlaku di Britain. Orang British sering menegur Malaysia kononnya orang Melayu terutamanya tidak toleran dan tidak adil kepada kaum-kaum lain, lebih-lebih lagi kepada kaum Cina yang tinggal di negeri-negeri Melayu sekian lama dan telah pun menjadi rakyat Malaysia. Tetapi kenapakah berlaku rusuhan antara kaum di Britain? Apakah ianya tidak disebabkan oleh sikap tidak toleran orang kulit putih? 2. Sebenarnya agak mudah bersikap toleran terhadap kaum pendatang di negara lain, bersikap toleran secara akademik, tetapi tidaklah begitu mudah bersikap toleran jika kaum pendatang mengancam diri sendiri. Sebenarnya orang Eropah yang begitu bising berkenaan hak asasi dan lantang menolak `racism' ternampak jelas tidak lebih toleran atau kurang `racist' daripada bangsa-bangsa yang mereka cemuh. Walaupun Kerajaan mereka cuba untuk bersikap toleran tetapi rakyat dan kakitangan Kerajaan termasuk polis mereka tetap tidak toleran. 3. Masalah perkauman di negara-negara Eropah akan bertambah di masa-masa akan datang kerana `mobility' masyarakat manusia sekarang begitu tinggi. Sempadan tidak boleh dikawal lagi seperti dahulu. Penyeludupan manusia akan meningkat dengan pesat kerana kemudahan perkapalan, penerbangan dan lain-lain yang membolehkan semakin ramai berpindah dan berhijrah dari satu negara ke satu negara. 4. Sudah tentu penghijrahan adalah dari negara yang miskin ke negara yang kaya, dari negara bangsa yang miskin ke negara bangsa yang kaya. Di abad-abad akan datang, bahkan dekad-dekad akan datang tidak akan ada negara yang diduduki oleh satu kumpulan etnik atau ras sahaja. Semua negara akan mempunyai rakyat berbilang kaum yang datang dari semua pelusuk dunia terdiri daripada semua warna kulit, semua ras. Mereka juga akan kekal dengan bahasa, budaya dan agama mereka. Percubaan untuk mengekalkan identiti anak watan melalui budaya, agama dan bahasa akan semakin gagal. Mungkin hanya pasport atau kad pengenalan sahaja yang akan menentukan bangsa seseorang. Percubaan supaya kaum pendatang akan hanya diterima sebagai warganegara setelah mereka menerap bahasa, budaya dan agama kaum asli akan berkurangan dan rakyat sesebuah negara akan terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dengan bahasa, budaya dan agama yang berlainan. 5. Penghijrahan bangsa-bangsa yang miskin ke negara yang kaya akan mencetuskan masalah perkauman yang semakin lama semakin ketara. Kaum pendatang mungkin terdiri daripada orang yang miskin yang tidak ada keupayaan untuk memperbaiki taraf hidup mereka walaupun setelah berada di negara yang kaya. Akan ada pula bangsa yang cekap dan cergas yang sanggup bekerja lebih kuat dan akan menjadi lebih kaya daripada penduduk tempatan yang tidak sanggup bekerja kuat lagi. Orang ini juga akan menyebabkan penduduk asli kurang senang kerana ramai daripada mereka mungkin terpaksa bekerja sebagai pekerja upahan kepada kaum pendatang. 6. Sama ada kaum pendatang ini berjaya atau tidak, mereka mengancam penduduk asli tempatan. Dengan bertambahnya bilangan kaum pendatang, ancaman terhadap kaum asli akan meningkat ke tahap yang tidak dapat diterima oleh mereka. Walaupun ada penduduk tempatan yang akan bersikap liberal dan Kerajaan secara rasmi bersikap toleran, tetapi golongan bawahan di kalangan penduduk tempatan yang menjadi majoriti akan menyoal hak kaum pendatang dan tidak dapat bersikap toleran terhadap mereka. Sekali sekala rusuhan kaum akan berlaku. Di masa lain perhubungan antara kaum tetap tegang. Toleransi hanya akan ada di mulut sahaja. 7. Inilah keadaan yang sebenar. Semakin ramai kaum pendatang semakin buruk hubungan antara kaum dan semakin sukar bagi masing-masing terutama penduduk asli tempatan bersikap toleran. Ini adalah naluri manusia dan tiada siapa yang boleh mengatasinya secara benar dan ikhlas. 8. Biasanya golongan atasan dan intelek tidak akan merusuh dan berkonfrontasi secara terbuka. Mereka akan memperkenalkan logik dan falsafah kenapa mereka tidak boleh menerima bangsa atau puak yang berbeza daripada mereka. Tetapi sebenarnya yang menyebabkan mereka tidak toleran ialah keangkuhan keturunan, keaslian bangsa dan perasaan tidak selamat. 9. Hakikatnya ialah tahap sikap toleran berkaitan rapat dengan kepentingan diri atau kaum dan bangsa. Sikap toleran mudah dipamerkan jika masalah terdapat di negara orang. Apabila negara sendiri terancam, maka toleransi diketepikan. 10. Di Malaysia hari ini ternampak jelas sikap toleran lebih nyata. Pihak tertentu yang menguasai media dunia tidak sanggup mengakui keadaan ini kerana mereka mempunyai keangkuhan bangsa dan warna kulit. Tidak ada sebarang pujian terhadap pencapaian luar biasa oleh rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu yang menjadi anak watan asli negara ini. Tetapi hakikatnya orang Melayu di Malaysia amat toleran. Toleransi orang Melayu di Malaysia sepatutnya tidak ada. Sebagai kaum asli anak watan yang ketinggalan di negara sendiri sepatutnya mereka mencurigai dan membenci kaum pendatang. Tetapi keangkuhan penduduk tempatan asli tidak ternampak di kalangan orang Melayu. Mungkinkah ini kerana orang Melayu, tidak seperti kaum-kaum lain, benar-benar toleran? 11. Sebenarnya toleransi orang Melayu disebabkan mereka suka kepada yang mudah. 12. Sejarah bangsa Melayu menunjukkan betapa mereka lebih mengutamakan keselesaan hidup daripada soal-soal keselamatan dan kemajuan bangsa mereka. Melaka menjadi pelabuhan dan pusat perdagangan kerana saudagar- saudagar dari negara-negara China, India dan Arab mendapati Melaka memberi perlindungan kepada mereka daripada ribut musim tengkujuh. Mereka juga berasa terselamat di kalangan orang Melayu yang lebih gemar mendapat bekalan dan khidmat daripada mereka. 13. Sikap Melayu Melaka terhadap pedagang asing memang toleran dan baik. Tidak ada diskriminasi terhadap kaum pendatang yang tercatat dalam sejarah Melaka. Demikianlah layanan baik terhadap saudagar asing sehingga ramai daripada mereka memilih untuk tinggal dan berniaga di Melaka secara tetap. Orang berketurunan India, Cina dan Arab telah bermastautin di Melaka lebih awal daripada kejatuhannya ke tangan Portugis. 14. Mereka yang tinggal di Melaka tentulah kebanyakannya daripada orang lelaki. Mereka mudah menerapkan budaya dan bahasa Melayu kerana ada yang berkahwin dengan orang tempatan. Ini menyebabkan orang Melayu lebih toleran walaupun setelah mereka menerima agama Islam. 15. Proses penerimaan bahasa dan budaya Melayu di negeri-negeri Selat berkurangan apabila pegangan orang Melayu kepada Islam menjadi lebih kuat. Lagipun di zaman Belanda dan British proses ini terhenti sama sekali kerana sikap bangsa-bangsa Eropah ini bukan sahaja memisahkan diri mereka daripada bangsa-bangsa tempatan, terutama Melayu yang beragama Islam, tetapi budaya Barat menjadi tumpuan kaum-kaum pendatang, terutama yang baru datang. Kemasukan kaum pendatang dengan amat ramai semasa pemerintahan British mencairkan pengaruh budaya dan bahasa Melayu di kalangan kaum pendatang. Demikianlah ramainya kemasukan kaum pendatang sehingga orang Melayu menjadi kaum minoriti di beberapa buah negeri Melayu. 16. Tetapi orang Melayu tidak juga bermusuh dengan kaum pendatang. Mereka rela mengundur diri dari bandar- bandar yang dibangun dan diduduki oleh kaum pendatang yang lebih agresif. Mereka menyerahkan kebanyakan aktiviti ekonomi kepada kaum pendatang. Jika di zaman kesultanan Melayu Melaka, raja-raja menjadi peniaga dan menukar barangan hutan dan bijih timah yang dikumpul oleh rakyat mereka dengan barangan saudagar asing, di zaman yang bangsa asing sudah memonopolikan bandar- bandar, raja-raja Melayu berpuas hati dengan menyerahkan tanah dan kutipan cukai kepada orang asing kerana dijamin pendapatan yang lebih tinggi bagi mereka. Demikian monopoli candu dan kutipan cukai import diserahkan kepada kapitan-kapitan Cina yang menentukan hasil cukai sampai ke tangan raja. Semasa kutipan cukai dibuat oleh pegawai Melayu, sebahagian besar daripadanya tidak sampai kepada raja. 17. Jelaslah orang Melayu bersikap toleran kerana suka kepada yang mudah. Jika orang lain boleh buat kerja untuk mereka, maka mereka bersedia untuk menerima kehadiran orang lain ini di negeri mereka. Mereka tidak bercampur gaul dengan orang asing ini, hanya membiarkan orang asing ini berada untuk membuat kerja- kerja yang tidak diminati oleh mereka. Demikian apabila orang asing bekerja keras untuk mengeluarkan hasil bumi seperti bijih timah, mengadakan perniagaan runcit dan borong, menjadi tukang kayu dan tukang rumah, tukang jahit, tukang besi, pekerja di pejabat Kerajaan dan swasta, pekerja keretapi dan sebagainya, orang Melayu membiarkan sahaja dan tidak melibatkan diri dalam bidang-bidang ini lagi. Mereka juga tidak cuba mempelajari kecekapan ini supaya mereka mendapat hasil yang baik seperti yang terdapat oleh kaum pendatang. Demikianlah kesanggupan mereka untuk melepaskan segala kerja kepada orang asing sehingga negeri-negeri Melayu menjadi syurga kepada kaum pendatang dan mereka datang berduyun-duyun. Pada suatu masa bilangan pendatang asing melebihi bilangan orang Melayu. Jika tidak kerana resesi yang teruk pada tahun- tahun dua puluhan hingga tiga puluhan yang menyebabkan ramai pendatang asing kembali ke tanahair mereka, bilangan orang Melayu di negeri-negeri Melayu akan terus kurang daripada orang asing seperti yang terdapat di Singapura. Kita boleh berfikir akan keadaan Malaysia hari ini jika jumlah penduduk Melayu terus berkurangan daripada orang asing. 18. Sikap toleran orang Melayu adalah luar biasa tetapi ia bukan didorong oleh perasaan timbang rasa terhadap kaum lain. Ia sebenarnya disebabkan oleh kemudahan dan kualiti khidmat yang dibekalkan oleh orang lain yang dikecapi juga oleh orang Melayu. Toleransi orang Melayu adalah kerana `expedience', iaitu kerana mudah dan mengurangkan beban hidup orang Melayu. Mereka sanggup bersikap toleran jika kerananya mereka dapat hidup selesa tanpa terlalu bersusah payah. Bahawa mereka menjadi lebih miskin daripada kaum pendatang tidak menyebabkan mereka risau. Yang utama bagi mereka ialah beban kerja mereka dikurangkan. 19. Jika tidak kerana diperuntukkan dengan undang- undang yang melarang penjualan tanah milik orang Melayu kepada kaum pendatang, hari ini mungkin kebanyakan orang Melayu menumpang tanah orang lain. Tanpa undang- undang tanah simpanan Melayu, mereka mungkin sudah menjual semua tanah mereka untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup mereka. Wang yang mereka dapati tidak dilabur tetapi dibelanja hangus untuk barangan dan khidmat yang dibekalkan oleh kaum pendatang. 20. Walau apa pun sebabnya, hakikatnya ialah orang Melayu yang menjadi kaum majoriti dan penduduk asli negeri-negeri Melayu adalah kaum yang amat toleran. Dan toleransi ini menyebabkan keadaan tenang dan aman di Malaysia. Jika ada bidang-bidang yang orang Melayu ingin rebut untuk diri mereka sendiri, sikap toleransi diketepikan juga. Demikian hari ini dalam soal tempat dalam institusi pengajian tinggi dan dalam Kerajaan, orang Melayu tidak sanggup memberi tempat kepada kaum lain walaupun kaum lain ini lebih layak daripada mereka. 21. Bangsa-bangsa lain tidak seperti orang Melayu. Mereka tidak toleran walaupun kedudukan mereka tidak terancam. Kelainan agama antara bangsa yang sama pun boleh menyebabkan permusuhan yang keras. Demikian tidak ada toleransi di antara orang Irish Protestan dengan orang Irish Katolik, di antara orang Slavic Kristian dan Slavic Islam dan antara orang berketurunan yang sama tetapi berlainan agama di benua India. 22. Sehingga tiga dekad yang lalu Australia melaksanakan "White Australia Policy" kerana tidak toleran kepada bangsa yang bukan berkulit putih. Di Amerika Syarikat orang kulit hitam baru sahaja diterima sebagai manusia yang mempunyai hak yang sama dengan yang berkulit putih. Walaupun secara rasmi ada toleransi di Australia dan Amerika Syarikat tetapi ramai juga rakyatnya yang masih tidak toleran terhadap yang bukan berkulit putih. Penjual "fish and chips" kulit putih menganggap dirinya lebih mulia daripada pendatang kulit berwarna, walaupun dari kelas lebih tinggi daripadanya. 23. Di kalangan orang Islam juga sikap tidak toleran boleh menjadi ketara. Di antara orang Sunni dan Syiah permusuhan ketat berlaku. Apabila sesuatu mazhab menjadi majoriti mazhab yang menjadi minoriti biasanya ditekan. Tekanan ini mungkin disebabkan penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar. Tetapi kadang- kadang sedikit perbezaan sahaja mencukupi untuk menimbulkan sikap tidak toleran. Walaupun agama Islam menerima perbezaan sedikit sebanyak dalam tafsiran atau amalan ajaran Islam, ada yang tidak sanggup sama sekali melihat adanya orang Islam lain yang mempunyai fahaman yang berbeza sedikit daripada mereka. Demikian ada yang menolak orang Islam lain, orang yang mengucap dua kalimah syahadat kerana tidak menerima atau menepati syarat-syarat lain yang ditokok tambah oleh mereka ini. Kononnya syarat mereka lebih penting daripada menaik saksi akan Allah yang satu dan Nabi Muhammad adalah Rasul-Nya. Antara syarat untuk diterima sebagai orang Islam oleh kumpulan ini ialah menyertai kumpulan mereka. Dengan mendakwa orang Islam tertentu adalah bukan Islam, maka mereka percaya darah orang ini dihalalkan bagi mereka. Dengan ini mereka menghalalkan juga sikap tidak toleran mereka terhadap orang Islam tertentu. 24. Sementara Islam mengajar penganutnya supaya toleran kepada orang bukan Islam serta orang Islam yang mempunyai kepercayaan yang berbeza-beza sedikit, tetapi di mana-mana sahaja terdapat orang Islam yang amat tidak toleran. 25. Di Malaysia, walau apa pun sebabnya, pada hakikatnya rakyat daripada pelbagai kaum dan suku kaum dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan tenteram. Mereka bergaul secara mudah, bekerja bersama dan bermain bersama. Yang anehnya ialah di Malaysia sementara politik menyebabkan pelbagai kaum menjadi toleran, politik juga yang menyebabkan tidak ada toleransi antara rakyat yang menganuti agama Islam yang sama daripada segi mazhabnya. 26. Semasa negeri-negeri Melayu di Semenanjung berada di bawah pemerintahan British, kaum-kaum dipisahkan oleh kawasan yang diduduki oleh mereka dan pekerjaan yang dibuat oleh mereka. Orang Melayu berada di kampung-kampung dan di desa-desa, orang berketurunan India di estet-estet getah dan orang Cina pula di bandar-bandar. Mereka jarang bertemu dan British menentukan mereka tidak berpeluang untuk bermusuh- musuhan antara mereka. Keadaan keselamatan dikawal ketat. 27. Percubaan oleh British merampas negeri-negeri Melayu telah memisahkan lagi Melayu dengan bukan Melayu kerana kepentingan politik yang bertentangan. Orang Melayu menubuhkan parti perkauman Melayu, demikian juga orang Cina dan orang India, dan mereka bermusuhan dalam arena politik. 28. Kejayaan Melayu menolak Malayan Union sepatutnya mengekalkan pemisahan di antara Melayu dan bukan Melayu. Tetapi kepimpinan Melayu dan Cina di Kuala Lumpur telah mengadakan pakatan di antara mereka untuk bertanding dalam pilihanraya bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Entah bagaimana, pakatan yang ganjil ini telah berjaya memberi kemenangan kepada kedua-dua kaum. 29. Ternampak jelas pakatan di antara kaum Cina dan Melayu lebih menguntungkan daripada permusuhan di antara mereka. Ia adalah satu formula "Win Win", dengan keuntungan diperolehi oleh kedua-dua pihak. Susulan daripada ini orang India pula memilih untuk memasuki pakatan politik ini. Maka terbentuklah satu jenis pakatan yang mengatasi penyuburan sikap toleran antara kaum. Kemudian kaum-kaum dan suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak pula menyertai pakatan ini dan menyumbangkan sikap toleran rakyat Malaysia. Dengan ini, Malaysia dapat dibentuk dalam keadaan aman dan tenteram. 30. Kunci kepada formula toleransi antara kaum ini ialah orang Melayu yang majoriti daripada mereka memilih untuk berkongsi kuasa dalam Malaysia yang merdeka, walaupun mereka mempunyai cukup bilangan untuk mendirikan Kerajaan Melayu sepenuhnya. Formula ini berjaya mengalahkan gerakan militan yang dipimpin oleh orang Cina, kerana majoriti orang Cina Malaysia memilih untuk menyertai pakatan antara kaum yang bersikap toleran. Sekali lagi toleransi membawa keamanan kepada Malaysia. 31. Sebahagian kecil daripada orang Melayu dan orang Cina menolak kerjasama antara kaum dan sikap toleran. Mereka mengutamakan kaum mereka sahaja. Dengan itu mereka gagal mendapat sokongan yang cukup untuk mendirikan Kerajaan. 32. Sikap toleran ini diuji apabila tercetus rusuhan kaum pada tahun 1969. Walaupun rusuhan berlaku di Kuala Lumpur, ia tidak merebak ke tempat-tempat lain. Dengan itu ia mudah dibendung. Jauh daripada menghapuskan sikap toleran, rusuhan kaum tahun 1969 berjaya mengukuhkan lagi sikap toleran. Menyedari akan sebab-sebab rusuhan berlaku, kepimpinan majoriti Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain menerima keperluan menyamakan agihan kekayaan secara saksama antara kaum. Dasar Ekonomi Baru dibentuk yang disokong oleh majoriti rakyat berbilang kaum termasuk minoriti Melayu yang dahulunya tidak toleran. Mereka turut menyertai Kerajaan. 33. Zaman pasca peristiwa 13 Mei 1969 bolehlah dianggap sebagai zaman gemilang bagi toleransi di Malaysia. Hampir semua pihak sanggup bekerjasama dengan sikap yang toleran demi kesejahteraan negara dan bangsa. Malangnya zaman ini tidak panjang kerana kepentingan politik parti menyebabkan pihak tertentu cuba merebut peluang untuk melemahkan parti komponen yang lain. Dengan itu parti berkenaan terpaksa disingkirkan daripada pakatan yang toleran ini. 34. Sikap tidak toleran oleh minoriti Melayu dan Cina berkembang semula. Tetapi mereka semakin sedar bahawa sikap perkauman yang tebal tidak akan memberi kejayaan kepada mereka. Dengan itu apabila sebuah parti serpihan menyarankan pakatan antara minoriti yang tidak toleran ini supaya bekerjasama di antara mereka, maka sekali lagi puak-puak ini terpaksa mencuba untuk bersikap toleran. Ternampak di Malaysia realiti politik tidak membenarkan sikap tidak toleran berkembang. Jika sikap tidak toleran diamalkan, maka kejayaan dalam arena politik tidak mungkin tercapai. 35. Mungkin kita berpendapat bahawa dalam sebuah negara yang berbilang kaum, sikap toleran semestinya wujud. Tetapi kita tahu di kebanyakan negara berbilang kaum tidak ada sikap toleran. Mereka lebih rela menghancurkan negara daripada berkongsi dan bersikap toleran. 36. Walaupun jelas terdapat toleransi kaum dan agama di Malaysia, kita tidak boleh menganggap sikap ini tetap terpelihara dengan sendirinya. Sudah ada bukti bahawa terdapat kumpulan-kumpulan kecil yang menolak sikap toleran ini dan ingin menggunakan kekerasan untuk merampas semua kuasa bagi mereka. Justeru itu, kita tidak boleh bersikap toleran kepada puak yang jelas tidak toleran ini. Toleransi adalah untuk mereka yang toleran sahaja. Mereka yang tidak toleran, yang ingin menghapuskan sikap toleran jika mereka berkuasa, tidak boleh diberi layanan yang toleran. Mereka mesti dihalang walaupun tuduhan akan dibuat bahawa kita tidak toleran. 37. Alhamdulillah, setakat ini kegiatan mereka dapat dibendung dan dipatahkan. Pihak yang toleran di Malaysia masih menjadi majoriti dan terus berkuasa. Adalah diharapkan majoriti rakyat Malaysia akan terus berpegang kepada sikap toleran dan menolak segala-gala yang ekstrim dalam apa-apa kegiatan politik di Malaysia. 38. Malaysia aman dan berjaya. Hanya yang pekak dan buta mata serta buta hati sahaja yang akan menolak kebenaran ini. Malaysia berjaya kerana majoriti rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia sedar akan nikmat keamanan dan kestabilan. Mereka sedar bahawa hanya sikap toleran sahaja yang boleh membawa nikmat kepada mereka. 39. Di Malaysia kita percaya bahawa tidak mungkin semua kaum berpuas hati dengan keadaan mereka. Mereka sedar bahawa tidak semua tuntutan mereka akan diperolehi. Untuk tidak menidakkan hak kaum-kaum lain, setiap kaum perlu mengorbankan sedikit kepentingan mereka. Dengan pengorbanan ini mereka akan menikmati sebahagian daripada nikmat dan kekayaan negara bertuah ini. Sebaliknya jika setiap kaum menuntut semua yang dianggap oleh mereka sebagai hak mereka, perebutan akan memusnah dan menghancurkan negara. Akhirnya tiada siapa pun yang akan mendapat apa-apa bagi diri mereka. 40. Falsafah majoriti rakyat Malaysia ialah "mendapat sebahagian yang bermakna daripada kekayaan negara adalah lebih baik daripada mendapat semua daripada kemiskinan negara". Dengan izin, "Getting a portion of the economic wealth is better than getting the whole of the economic poverty of the nation". 41. Mereka tahu keamanan daripada sikap toleran membolehkan kekayaan negara tumbuh dengan baik dan bahagian mereka akan bertambah sepanjang masa. Sikap tidak toleran hanya akan membawa huru-hara dan jika semua bahagian diperolehi pun, sebenarnya ia tidak bermakna kerana segala-galanya sudah hancur dan tidak dapat dipulih atau dibesarkan. Pepatah Melayu berkata, "Menang jadi arang, kalah jadi abu". Yang menang pun tidak mendapat apa-apa, yang kalah pun tidak mendapat apa-apa. Semua akan mengalami kerugian. 42. Sebab itu pilihan mereka ialah mengorbankan sedikit hak mereka supaya negara menjadi aman dan makmur dan bahagian mereka yang sedikit akan menjadi lebih besar dengan pertumbuhan ekonomi. 43. Sebenarnya sikap toleran hanya wujud jika kepentingan diri terselamat atau ia menguntungkan diri sendiri. Mereka yang mendakwa mereka menjunjung sikap toleran kerana ia adalah sikap yang mulia dan bertamadun, adalah dakwaan munafik atau hipokrit. Oleh itu janganlah sesiapa cuba berhidung tinggi kerana kononnya mereka mendukung dan memperjuangkan toleransi sesama manusia. Mereka juga dalam keadaan tertentu tetap akan mengetepikan sikap toleran demi kepentingan diri mereka.