Perasmian Nur Ramadhan 1422 Hijrah Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur 19 November 2001 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada para hadirin sekalian. Saya ingin ucapkan tahniah kepada UMNO Wilayah Persekutuan yang sekali lagi dapat mengadakan majlis Nur Ramadan ini. Saya berasa amat gembira kerana parti- parti komponen Barisan Nasional daripada kaum-kaum yang lain dan agama lain juga dijemput ke majlis ini. Seperti mana kita tahu Malaysia adalah sebuah negara majmuk, negara berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya, berbilang bahasa. Namun negara kita ini umumnya aman dan tenteram. Tidak ada perselisihan yang ketara antara kaum, tidak ada rusuhan kaum seperti yang sering berlaku di negara-negara berbilang kaum yang lain. Keadaan di Malaysia ini mengagumkan pelawat-pelawat dan pemimpin-pemimpin dari negara lain kerana biasanya negara majmuk, negara berbilang kaum, tidak pernah aman sama sekali, jauh sekali dapat dibangunkan dengan pesat. Tetapi Alhamdulillah rakyat Malaysia terdiri daripada orang-orang yang bersikap sederhana, moderate dan tidak keterlaluan dalam apa juga tuntutan mereka ataupun pegangan mereka kepada kepercayaan mereka. Orang Islam di Malaysia ini terkenal kerana mereka bersikap sederhana mengikut kehendak agama Islam itu sendiri. Kita bukan sederhana dengan sengaja sahaja tetapi kerana ini adalah kehendak agama kita. Orang Islam tidak perlu bermusuh dengan orang lain melainkan kalau mereka bermusuh dengan kita. Itu pun kalau mereka ingin berdamai maka menjadi tanggungjawab orang Islam untuk berdamai. Kalau kita pegang kepada ajaran Islam, sudah tentu negara kita ini akan menjadi sebuah negara yang aman walaupun bilangan orang Islam lebih ramai daripada orang bukan Islam di dalam negara kita ini. Kita perlu pupuk semangat perpaduan di kalangan orang kita. Ada acara-acara yang tidak menyinggung agama lain yang apabila kita adakan, bolehlah kita menjemput rakan- rakan kita daripada kaum lain dan agama lain. Sebagai contoh ialah majlis berbuka puasa. Memanglah ini sebahagian daripada ibadat orang Islam tetapi orang lain juga boleh bersama-sama dengan kita, makan bersama walaupun mereka tidak sebenarnya buka puasa. Tetapi tidak menjadi salah kalau mereka bersama-sama dengan kita semasa kita berbuka puasa. Dengan itu kita dapat rapatkan lagi kaum-kaum di Malaysia ini. Dan apabila kita dapat rapatkan kaum-kaum di Malaysia tidak dapat tidak, negara kita ini akan menjadi aman dan stabil. Di Malaysia kita telah berjaya menjalin hubungan yang baik yang tidak keterlaluan daripada segi amalan agama kita. Pada bulan puasa sepertimana yang kita tahu restoran-restoran dan juga hotel-hotel membuat persediaan untuk berbuka puasa bagi orang Islam tetapi secara spontan, orang bukan Islam juga turut bersama untuk menikmati juadah dan makanan yang disediakan. Yang menarik sekali ialah orang bukan Islam tidak memulakan makan sehinggalah masa berbuka puasa telah sampai dan orang-orang Islam yang ada bersama telah buka puasa. Masa itulah mereka yang bukan Islam dan tidak berpuasa turut bersama untuk menikmati makanan yang disediakan. Ini adalah satu petanda yang baik kerana ia menunjuk bahawa di kalangan orang yang berlainan agama di Malaysia kita saling hormat menghormati antara satu sama lain. Oleh kerana kita hormat menghormati agama dan budaya yang berbeza ini maka tidak ada perselisihan kaum ataupun fahaman yang ketara dalam negara kita. Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa ini bukan bertentangan dengan ajaran Islam. Sebaliknya kita tahu agama kita berkata bahawa ada orang yang bukan beragama Islam dan cara mereka sembahyang menyembah tuhan adalah cara mereka. Sebaliknya kita menyembah tuhan dan membuat ibadat cara kita. Bagi mereka agama mereka, bagi kita agama kita. Tidak ada percubaan untuk memaksa sesiapa untuk memeluk agama Islam walaupun negara ini telah memasukkan dalam perlembagaan bahawa agama Islam adalah agama rasmi. Namun dalam perlembagaan juga kita telah sebut dengan jelas dan terang bahawa agama-agama lain boleh dianuti oleh penganut agama lain dan tidak ada apa-apa sekatan terhadap mereka. Kita telah sebut bahawa negara kita ini adalah sebuah negara Islam. Selama 44 tahun kita merdeka, memang pun negara ini adalah negara Islam kerana amalan dan dasar- dasar tertentu. Tetapi dasar-dasar itu tidak menidakkan hak orang bukan Islam. Sebab itu tidak ada sesiapa yang harus khuatir tentang peruntukan di dalam perlembagaan bahawa agama Islam adalah agama rasmi kerana ianya disusuli dengan kenyataan bahawa agama-agama lain boleh dianuti oleh penganut agama lain. Demikian juga apabila kita umumkan bahawa negara kita adalah negara Islam, ini tidak menjejaskan kedudukan orang bukan Islam kerana di mana-mana juga negara Islam terdapat orang bukan Islam dan mereka hidup bebas mengikut agama mereka. Tidak ada paksaan yang dikenakan ke atas mereka. Sebab itu dalam bulan puasa ini kita orang Islam disuruh menunjuk betapa baiknya agama Islam. Kita berpuasa untuk mengingatkan diri kita akan nasib orang lain, nasib orang yang tidak mempunyai cukup makan minum, supaya dengan itu akan timbul kesedaran di kalangan kita bahawa sementara kita bernasib baik ada orang lain yang tidak bernasib baik dan kita perlu insaf dan lebih daripada itu kita juga perlu menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik berbanding dengan kita. Alhamdulillah di Malaysia kita hidup dalam keadaan aman dan makmur, Tidak menjadi masalah untuk kumpulan seperti UMNO ini mengadakan majlis berbuka puasa untuk 3,000 orang lebih atau menghulur derma. Kenapakah UMNO boleh berbuat demikian? Sebabnya ialah kerana negara ini makmur dan kita insaf tentang nasib orang yang kurang baik dan kita menolong mereka. Sebaliknya ada negara-negara Islam yang lain yang tidak begitu aman dan tenteram dan tidak begitu makmur. Rakyat mereka miskin menderita bahkan ada di antara mereka yang mungkin mati kerana kebuluran. Walaupun kita jauh daripada mereka kita juga perlu insaf akan nasib mereka dan kita perlu menghulur bantuan kepada mereka. Di waktu ini kita lihat negara Afghanistan yang menghadapi masalah kerana diserang oleh pihak lain. Serangan ini bertujuan untuk mengejar pengganas yang dikatakan berlindung di negara Afghanistan. Kita tidak ada halangan terhadap usaha untuk menangkap atau membunuh pengganas. Tetapi malangnya oleh kerana serangan ini, orang yang tidak bersalah juga telah terbunuh dan tercedera. Untuk mengelak daripada serangan ini, ramai daripada mereka terpaksa meninggalkan negara mereka dan berhijrah ke negara jiran. Keadaan mereka di negara jiran, keadaan mereka hidup dalam bandar-bandar khemah yang didirikan dengan tidak sempurna ini amatlah menyedihkan. Oleh itu kita sebagai manusia yang mewah, yang hidup dalam keadaan aman ini perlu insaf dan perlu memberi sokongan kepada orang yang menghadapi masalah ini. Kita perlu menghulur derma seberapa yang boleh supaya kita dapat bantu mereka Kita masih memerlukan derma dan bantuan dan dalam bulan puasa ini eloklah bagi mereka yang mampu menghulurkan derma menghulurkannya dan memberi apa juga bantuan yang boleh diberi, mungkin berbentuk kain baju atau lain- lain jika tidak pun duit ringgit. Adalah lebih baik kalau kita memberi duti ringgit kerana boleh kita guna untuk membeli dengan harga yang lebih murah di Pakistan sendiri untuk kita beri kepada pelarian dari Afghanistan. Ini merupakan satu ibadah bagi orang Islam. Ini juga adalah sesuatu yang dialu-alukan oleh orang bukan Islam. Walaupun kali ini kita menghulur derma kepada orang Islam yang menderita dari Afghanistan, hendak kita ingat juga bahawa kita biasanya menghulur derma kepada sesiapa sahaja yang menderita. Kalau ada mangsa gempa bumi ataupun ribut taufan ataupun banjir yang besar, kita tidak mengambil kira agama mereka, tetapi sebagai manusia kita harus berasa sedih dengan keadaan yang buruk yang menimpa mereka yang perlu kita hulurkan derma bantuan kepada mereka. Dengan itu kita akan terkenal juga sebagai satu bangsa yang insaf dan kita tahu bersyukur dengan banyak nikmat yang kita terima dalam negara kita ini. Sesungguhnya kita adalah orang yang bertuah di Malaysia ini. Nikmat yang kita terima tidak pernah kurang walaupun kita menghadapi kegawatan ekonomi dan sebagainya. Tidak pernah terjadi walaupun semasa kegawatan, orang Malaysia mati kebuluran. Kita selalu mempunyai jiran yang sanggup menolong kita jika kita kekurangan makanan ataupun tempat tinggal. Ada sahaja pihak yang akan membantu kita. Dengan itu kita harus selalu bersyukur kerana agama kita mengajar kita bahawa orang yang bersyukur itu akan mendapat lebih banyak nikmat daripada tuhan. Sebaliknya mereka yang tidak pernah bersyukur, bahkan mengajar supaya jangan bersyukur, mereka akan menerima azab yang pedih daripada Allah s.w.t. Ini semua perlu kita ingat dalam bulan puasa kerana bulan puasa bukan sahaja untuk kita berpuasa tidak makan tidak minum tetapi juga kita tidak boleh mempunyai fikiran yang tidak baik, dan kita tidak boleh menggunakan perkataan-perkataan yang kesat, melempar fitnah dan sebagainya, sekurang-kurangnya untuk satu bulan. Bulan puasa ini berhentilah memfitnah, berhentilah berbohong dan keluarlah kata-kata yang baik, kata-kata yang boleh merapatkan orang Islam sesama orang Islam dan yang Islam sesama orang bukan Islam juga. Dengan itu negara kita akan terus menjadi aman dan kerana ianya aman banyaklah nikmat yang akan diterima oleh kita. Saya bersyukur kerana dapat bersama dengan tuan-tuan pada petang ini terutama dalam majlis Nur Ramadan ini yang mana tujuannya ialah untuk menghulur sedikit bantuan kepada mereka yang mungkin mempunyai pendapatan yang kurang daripada yang lain ataupun yang daif. Dan saya harap kita semua dapat mengamalkan cara-cara yang baik ini bukan sahaja semasa bulan Ramadan tetapi di waktu-waktu yang lain juga. Masyarakat yang menderma, masyarakat penyayang, tetap akan menjadi masyarakat yang baik yang berjaya dan kita akan dapat banyak nikmat apabila masyarakat di mana kita menjadi anggotanya berjaya dalam serba-serbi bidang dan ini akan menjadikan kita hidup lebih bahagia. Inilah harapan kita semua. Saya yakin dan saya berdoa bahawa tahun depan juga kita dapat bersama-sama mengadakan Nur Ramadan ini dan melihat acara pemberian bantuan seperti yang akan diadakan pada hari ini. Sekian wabillahitaufik walhidayah wasasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat berpuasa kepada semua Umat Islam.