Perutusan Hari Wesak 2001 Radio Dan Televisyen Malaysia, 7 Mei 2001 Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut hari Wesak kepada semua rakyat Malaysia, khususnya para penganut agama Buddha. Hari Wesak merupakan salah satu acara kebesaran agama yang penting yang disambut oleh penduduk Malaysia yang menganuti agama Buddha. Di Malaysia, sambutan secara besar-besaran acara keagamaan adalah satu perkara biasa. Ianya merupakan manifestasi dasar kebebasan agama yang diamalkan oleh Kerajaan dan rakyat Malaysia. Walaupun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi negara dan penganutnya merupakan kaum majoriti di negara ini, namun ianya tidak menidakkan kebebasan kaum lain untuk menganut dan mengamal agama kepercayaan mereka. Begitu juga dalam soal bahasa, budaya dan adat resam. Setiap kaum bebas mengamalkan bahasa, budaya dan adat resam masing-masing tanpa sebarang sekatan. Walaupun ini sudah menjadi kebiasaan, nikmat dan keistimewaan ini harus dihargai oleh kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum di bumi yang bertuah ini. Di sesetengah negara lain, kaum minoriti sering ditindas dan dicabuli hak mereka oleh kaum majoriti. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Kita mungkin terdiri daripada kaum minoriti, namun hak dan kebebasan kita tetap terpelihara di bawah perlembagaan dan undang-undang negara. Kita sungguh bertuah sifat toleran dan saling faham memahami antara kaum yang berlainan agama, bahasa dan budaya di negara kita yang dipupuk sejak sekian lama telah membawa keharmonian dan perpaduan rakyat. Formula ini telah kita terima pakai sejak negara kita merdeka. Keberkesanannya telah terbukti di mana Kerajaan telah berjaya memajukan dan membangunkan negara dan membuka peluang untuk rakyat mencari kemajuan dan kemakmuran. Tetapi kebelakangan ini terdapat usaha pihak tertentu untuk menghancurkan perpaduan dan menimbulkan kekecohan di dalam negara menerusi sikap keterlaluan, rusuhan jalanan dan perbalahan antara kaum. Kita bernasib baik kerana majoriti rakyat masih bersikap rasional dan tetap menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan keamanan dalam negara menerusi tindakan undang-undang yang sedia ada. Hari Wesak seperti hari-hari kebesaran yang lain dapat disambut dengan meriah dan penuh kegembiraan bukan sahaja oleh para penganut agama Buddha, tetapi juga oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian dan perpaduan antara kaum. Hari Wesak disambut untuk memperingati beberapa acara penting di dalam kehidupan pengasas agama Buddha, Gautama Buddha. Namun yang lebih utama ialah gesaan terhadap melakukan kebaikan sesama insan dan menjalankan kerja-kerja amal dan ini telah dilakukan dengan baik oleh penganut-penganut agama Buddha di Malaysia. Sempena hari Wesak pada tahun ini, saya harap semua penganut agama Buddha di Malaysia akan berusaha untuk mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan menguatkan semangat perpaduan dan cintakan negara di samping menyumbang terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara kita. Sekali lagi saya dan isteri saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak.