Perhimpunan Agung Umno Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur 18 June 1999 " MARUAH BANGSA TANGGUNGJAWAB UMNO " Empat puluh dua tahun bukan satu jangka masa yang panjang dalam sejarah sesebuah negara. Negeri-negeri Melayu telah dijajah lebih dari 400 tahun jika dikira dari tarikh kejatuhan Melaka. Dengan perkataan lain bangsa Melayu dan rumpun Melayu mengambil masa lebih dari 400 tahun untuk merebut balik kemerdekaan, untuk membebaskan diri. 2. Sebaliknya kejatuhan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak ke tangan bangsa asing mengambil masa yang amat pendek, hanya beberapa hari atau minggu sahaja. HARGAI KEMERDEKAAN NEGARA 3. Jika kita ingin sejarah penaklukan kita oleh kuasa asing tidak berulang hendaklah kita sedar bahawa kemerdekaan kita, kebebasan kita boleh dihapuskan dalam masa yang singkat. Dan setelah hilang kemerdekaan kita tidak mudah untuk mengembalikannya. Proses mengembalikan kemerdekaan akan memakan masa yang amat panjang mungkin beberapa abad. Hakikat ini perlu kita ingat jika kita menghargai kemerdekaan kita, jika kita ingin terus bebas dan merdeka, jika kita ingin kekalkan penentuan nasib kita dibuat oleh kita sendiri selama- lamanya. 4. Ingatlah sementara orang Melayu di Semenanjung dan di Sabah serta Sarawak bebas dan merdeka, orang Melayu ke Utara dan Selatan tidak seperti kita. Mereka hidup di negara orang dan selama-lamanya akan hidup di negara orang. Oleh itu insaflah dan bersyukurlah dengan nikmat hasil perjuangan kita. 5. Walaupun di zaman ini penjajahan dan penaklukan secara langsung oleh sesuatu bangsa ke atas negara lain sudah tidak dapat diterima lagi, tetapi ini tidak bermakna keinginan untuk menjajah sudah luput daripada budaya penjajah, khususnya etnik Eropah. Harimau tidak akan hilang belangnya. Demikian etnik Eropah masih ingin menguasai dunia, masih ingin menjajah, jika tidak secara langsung sekurang-kurangnya secara tidak langsung, dengan mendominasi negara lemah atau dengan mengguna boneka mereka. 6. Inilah yang sedang kita lihat sekarang. Penjajah akan menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka mempunyai niat untuk menjajah semula negara bukan milik etnik Eropah, tetapi hasil daripada tindakan mereka tidak banyak berbeza daripada penjajahan. Secara efektif wilayah yang menjadi sasaran mereka dikuasai oleh mereka, diletakkan di bawah telunjuk mereka, dan sebenarnya diperintah oleh mereka. Kerajaan negara- negara yang mereka kuasai tidak lagi bebas untuk mengurus ekonomi atau politik dalaman dan luar. 7. Semasa dunia terbahagi kepada dua blok, negara- negara kecil di Asia dan Afrika mempunyai pilihan untuk menukar blok jika mereka berasa terancam oleh mana-mana blok. Dengan itu tekanan ke atas mereka tidaklah terlalu berat. Kedua-dua blok berhati-hati kerana tekanan yang terlalu kuat boleh menyebabkan mangsa mereka mencari perlindungan blok yang satu lagi. 8. Malangnya blok Komunis ditewas dan dunia tinggal dengan satu blok sahaja -- iaitu blok Kapitalis. Bebas daripada kemungkinan negara-negara berkecuali memilih untuk menyertai blok Komunis, negara Kapitalis tidak lagi membendung atau menyembunyi keinginan mereka untuk menjajah semula. Mereka juga tidak lagi perlu menyembunyi taring mereka. Apa dianya sistem Kapitalis yang sebenar didedahkan tanpa segan-silu. KUASA PASARAN MENJADI PENENTU 9. Mengikut sistem Kapitalis yang sekarang diperkenalkan, Pemerintah atau Kerajaan tidak lagi berhak mengawal gerak-geri peniaga dan pengusaha iaitu kapitalis dalam pasaran yang bebas. Kuasa pasaran atau 'market-forces' akan menentukan segala-galanya. Jika sesuatu yang dilakukan oleh mereka merugikan mereka maka kononnya mereka dengan sendirinya akan mengawal perbuatan itu atau menghentikannya. 10. Dengan itu segala aturan-peraturan dan undang- undang yang mengawal dan menguasai aktiviti kapitalis di negara mereka dimansuhkan melalui proses 'deregulation' yang disarankan oleh mereka. Maka bertambah kayalah yang berjaya dan berwibawa, dan hancurlah yang lemah dan kecil. Melalui proses Darwin 'survival of the fittest' maka muncullah gergasi Kapitalis yang memiliki atau menguasai jumlah modal yang tidak terhad. 11. Gergasi-gergasi ini mendapati negara mereka terlalu sempit untuk cita-cita besar mereka. Kenapakah, tanya mereka, sempadan negara mereka harus membataskan kegiatan mereka untuk mengejar keuntungan yang tidak terhad? Kenapakah mereka tidak boleh mengguna modal besar mereka di seluruh dunia? Kenapakah negara-negara yang mempunyai potensi untuk dieksploitasi harus menyekat gergasi-gergasi kapitalis ini dengan mengadakan undang-undang tertentu yang menghadkan kegiatan perniagaan kepada warga mereka sahaja? Kenapakah negara-negara ini juga tidak mengadakan 'deregulation' dan memberi kebebasan kepada kuasa pasaran? 12. Melalui GATT atau Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan, mereka cuba meruntuhkan segala benteng pertahanan negara-negara di dunia. Mereka mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi telekomunikasi untuk memperkenalkan konsep dunia tanpa sempadan, 'a borderless world', yang kemudian ditakrif sebagai 'globalisation' atau globalisasi. 13. Apabila Pertubuhan Perdagangan Dunia atau WTO ditubuhkan mereka menggunakan badan ini untuk memajukan konsep globalisasi. Mereka mengguna sebagai umpan pelaburan modal mereka yang boleh membawa kemajuan yang pesat kepada nega